Nuffnang Advertisment

Tuesday, 18 October 2016

PERANG DINGIN: SEBAB-SEBAB MEMBAWA TERCETUSNYA PERANG DINGIN DI EROPAH

A. Pendahuluan

Selepas tamat Perang Dunia Ke-2, muncul dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union. Hubungan antara kedua-dua kuasa ini semakin tegang meskipun semasa Perang Dunia Ke-2, mereka bernaung di bawah satu pakatan yang sama iaitu pihak Berikat. Kemuncak ketegangan ini telah menyebabkan tercetusnya Perang Dingin di Eropah antara kuasa Amerika Syarikat dengan Soviet Union. Perang Dingin bermula pada tahun 1945 dan tamat pada tahun 1989 iaitu selepas keruntuhan Negara-negara komunis di Eropah Timur.

Perang Dingin merujuk kepada konflik antara blok kapitalis yang diterajui Amerika Syarikat dan blok komunis yang dipimpin oleh Soviet Union sejak tamatnya Perang Duni Ke-2. Kedua-dua kuasa ini bersaing antara satu sama lain dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan ideologi dan pengaruh masing-masing. Perang Dingin ini berlaku tanpa melibatkan sebarang pertempuran bersenjata secara langsung.

Semasa perang Dingin meletus, kedua-dua kuasa besar dunia menjalankan kegiatan subversif, propaganda, pengintipan dan perang psikologi secara tidak langsung menerusi sekutu mereka. Terdapat banyak sebab yang membawa kepada Perang Dingin.


Sebab-sebab berlaku Perang Dingin


1. Perbezaan ideologi politik

Amerika Syarikat dan Soviet Union mengamalkan ideologi politik dan sistem pemerintahan jauh berbeza antara satu sama lain atau bertentangan. Amerika Syarikat memperjuangkan sistem demokrasi yang mengutamakan hak kebebasan individu sepenuhnya seperti kebebasan memilih kerajaan, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, hak untuk berkumpul dan kebebasan media. Amerika Syarikat mahu kerajaan yang memerintah terdiri daripada parti yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya umum.

Sementara itu, Soviet Union menyokong sistem sosialis yang berteraskan ideologi komunis. Negara ini menganjurkan pemerintahan bercorak diktator yang hanya mengiktiraf pembentukan Parti Komunis. Dalam sistem ini, kebebasan rakyat adalah sangat terhad iaitu rakyat tidak diberikebebasan untuk memilih kerajaan, berhimpun dan menyuarakan pendapat mereka.
Perbezaan ini menyebabkan hubungan antara kuasa-kuasa ini telah menyebabkan hungan menjadi renggang dan akhirnya tercetus kepada Perang Dingin.


2. Perbezaan sistem atau dasar ekonomi

Amerika Syarikat memperjuangkan sistem ekonomi kapitalis yang menggalakkan perdagangan bebas tanpa campur tangan kerajaan iaitu pemerintah mempunyai peranan yang sangat terhad dalam persaingan ekonominya.

Sistem ekonomi ini memberikan keuntungan yang besar terhadap pelabur-pelabur yang bermodal besar kerana ia membenarkan pemilikan secara persendirian. Ini akan meningkatkan persaingan dalam kalangan pengusaha sekaligus dapat memajukan ekonomi negara.

Manakala, di Soviet Union tidak menggalakkan sistem ekonomi bebas kerana bimbang masyarakat terdedah kepada sistem ekonomi Barat yang akan memusnahkan regim totalitarian yang diamalkan.

Kerajaan akan mengawal aktiviti perdagangan bebas dengan memberi peranan yang besar kepada pemerintah. Melalui dasar ini maka perniagaan dimiliki dan diuruskan oleh kerajaan sahaja. Tujuan kerajaan adalah untuk melindungi kepentingan pelabur-pelabur kecil agar tidak ditindas oleh pelabur yang bermodal besar.

Tindakan Soviet Union menentang ideologi kapitalisme dan bimbang terhadap ancaman dari Amerika Syarikat menyebabkan Perang Dingin


3. Dasar perluasan pengaruh Soviet Union di Eropah

Soviet Union telah meluaskan pengaruhnya di Eropah sebelum Perang Dunia Kedua tamat. Akhir 1944 - tentera komunis Rusia telah membebaskan dan mengawal sebahagian besar negara-negara di Eropah Timur. Rusia juga berjaya menguasai Jerman Timur

Dalam Persidangan Yalta, Stalin mengandaikan pihak Barat bersedia menerima pengaruh Rusia di Poland tetapi dalam Persidangan Potsdam wujud ketidaksefahaman yang menyebabkan keretakan hubungan antara mereka.

Rusia bertindak mengukuhkan cengkamannya terhadap negara-negara di Eropah. Kerajaan-kerajaan yang dibentuk didominasikan oleh golongan komunis. Kerajaan Soviet Union juga ingin meluaskan pengaruh di Eropah Barat.

Stalin menggalakkan komunis memainkan peranan aktif dalam pilihan raya dalam negara-negara tersebut terutamanya di Itali dan Perancis. Tindakan Soviet Union menyebarkan pengaruh komunis menyebabkan Amerika Syarikat mengambil langkah-langkah yang pro-aktif bagi menyekat penyebaran ideologi komunisme.


4. Hubungan renggang antara Amerika Syarikat dan Soviet Union

Hubungan menjadi buruk selepas Mei 1945. Hubungan renggang apabila Amerika Syarikat menolak permintaan Soviet Union untuk membantu membangunkan ekonomi negara Amerika Syarikat selepas tamat Perang Dunia Ke-2.

Hubungan menjadi semakin tegang apabila Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill mengadakan satu tirai besi yang memisahkan Eropah Timur dengan Eropah Barat. Ini telah menyebabkan wujud perpecahan antara negara Eropah Barat dengan Eropah Timur.

Ucapan beliau membuktikan kebimbangan Amerika Syarikat dan Britain terhadap pengaruh Soviet Union di Benua Eropah.

Sementara itu, Soviet Union pula menjadikan Eropah Timur sebagai Negara-negara satelit yang bertindak sebagai zon penampan antara Soviet Union dengan negara-negara Eropah Barat.

Persaingan ini telah mencetuskan konflik yang menyebabkan hubungan tegang antara Amerika Syarikat dan Soviet Union sekaligus merancakkan Perang Dingin di Eropah.


5. Doktrin Truman

Presiden Harry Truman mengumumkan bantuan yang diberikan kepada Soviet Union dihentikan. Amerika Syarikat tidak mengiktiraf kerajaan yang ditubuhkan tanpa persetujuan rakyatnya. Doktrin ini menjadi dasar Amerika Syarikat bagi tempoh 30 tahun berikutnya.

Doktrin ini juga menjadi dasar kepada usaha Amerika Syarikat menentang perluasan pengaruh Soviet Union dan ideologi komunisme ke seluruh dunia. Berdasarkan doktrin ini Amerika Syarikat memberikan bantuan kewangan dan ketenteraan kepada Turki dan Greece bagi membendung ancaman komunisme


C. KESIMPULAN

Perang Dingin yang meletus ini telah membawa kesan kepada dunia sehinggalah perang ditamatkan pada tahun 1989 selepas keruntuhan negara-negara komunis di Eropah Timur.



Wednesday, 12 October 2016

PENGLIBATAN AMERIKA SYARIKAT DAN UNITED KINGDOM DALAM NORTH ATLANTIC TREATY ORGANISATION (NATO)

PENGENALAN

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), juga dikenali sebagai (North) Atlantic Alliance, satu pakatan ketenteraan antara kerajaan berdasarkan Perjanjian Atlantik Utara yang telah ditandatangani pada 4 April 1949. Organisasi membentuk satu sistem pertahanan kolektif di mana negara anggota bersetuju untuk pertahanan bersama dalam tindak balas kepada serangan oleh mana-mana pihak luar terutama Rusia. Ibu pejabat NATO terletak di Paris. Pada peringkat awal, NATO dianggotai oleh 12 buah negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Perancis, Itali, Belgium, Belanda, Norway, Denmark, Portugal, Iceland dan Luxemberg. Kini telah menjadi 28 negara anggota di seluruh Amerika Utara dan Eropah, yang terbaru iaitu Albania dan Croatia telah  menyertai NATO pada April 2009.

         
PENGLIBATAN AMERIKA SYARIKAT DAN UNITED KINGDOM

NATO yang beribu pejabat di Paris telah menonjolkan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar yang memainkan peranan utama dalam pertahanan dan keselamatan di Eropah Barat.  NATO ditubuhkan untuk menghalang kebangkitan semula  kuasa ketenteraan Jerman di Eropah, mengheret dan melibatkan secara langsung Amerika Syarikat dalam hal ehwal ketenteraan dan politik Eropah, mengekang perluasan ideologi komunis dan ketenteraan Rusia di Eropah dan seterusnya mengatasi ketidak yakinan Eropah terhadap ketidak kemampuan PBB sama ada dari sudut pendekatan dan strategi bagi menyelesaikan atau mengatasi pelbagai konflik antarabangsa, khususnya dalam konteks dunia secara berkesan.
         
Bagi mencapai matlamat NATO, strategi yang digunakan ialah untuk mewujudkan sistem pertahanan bersama yang melibatkan semua negara anggotanya terhadap keselamatan dan kedaulatan setiap negara anggota. NATO yang bertujuan untuk membendung pengaruh komunis yang diterajui oleh Soviet Union termasuk negara-negara Eropah Timur yang prokomunis juga telah menambah kekuatan ketenteraan, oleh itu NATO telah mengesahkan kehadiran tentera Amerika Syarikat dan Britain selepas tahun 1945 di Eropah terutamanya di Jerman dan Turki supaya komunisme yang diarah dari Moscow dapat disekat dengan berkesan. Tambahan pula pada tahun 1949 Soviet telah meletupkan bom atomnya yang pertama.
         
Britain  adalah negara yang memainkan peranan penting dalam proses penubuhan NATO. Jika dirujuk kepada koleksi surat-surat peribadi Ernest Bevin, Setiausaha Luar Britain dari tahun  1946 hingga 1951 dan dokumen yang dihasilkan oleh Foreign Office, pihak British sememangnya menyusun strategi dengan mengetengahkan peranan besar Amerika Syarikat dalam proses penubuhan NATO. Ini bermakna pihak British berjaya untuk tidak menonjolkan peranan mereka walaupun British merupakan key player dalam proses pembentukan NATO. Britain yang diterajui oleh Parti Buruh telah menyusun pelbagai strategi bagi memastikan pertubuhan antarabangsa yang bakal dibentuk akan turut disertai oleh Amerika Syarikat.  Berdasarkan pengalaman Britain sesuatu pertubuhan itu kurang berkesan jika tidak disertai oleh Amerika Syarikat seperti yang berlaku ke atas Liga Bangsa.
         
Andrew Priest dalam bukunya Kennady Johnson And NATO menyatakan Ernest Bevin, Setiausaha Luar Britain dipertanggungjawabkan untuk Educating The Americans bagi menghadapi ancaman Soviet khususnya selepas tahun 1945. Ritchie Ovendale pula menegaskan bahawa Presien Harry S. Truman masih belum bersedia menghadapi ancaman Soviet di Eropah dan bagi pihak United Kingdom pula perlu membuat perancangan jangka panjang penglibatan Amerika Syarikat dalam soal keselamatan di Eropah. 
         
Selepas Perang Dingin telah menyebabkan hubungan antara United Kingdom dan Amerika Syarikat menjadi lebih baik dan ianya boleh dilihat melalui tiga bentuk hubungan iaitu perundingan diplomatik iaitu merunding dan membincang pelbagai peringkat diplomasi, kerjasama ketenteraan; kerjasama bilateral terutama tentera udara dan laut, perisikan; kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak khususnya menerusi Federal Bureau of Investigation (FBI) dan Central Intelligence (CIA) di pihak Amerika dan M16 Secret Intelegence Service (SIS) dan M15 Security Service di pihak Britain.
         
Hubungan keduanya renggang apabila Atomic Energy Act of 1946 diperkenalkan yang melarang Amerika mengadakan kerjasama nuklear dengan negara-negara lain kerana bimbang berlaku percambahan aktiviti pembinaan senjata nuklear di tempat-tempat lain. Ianya mengecewakan Britain yang bercita-cita membangunkan senjata nuklear dan ingin meminta bantuan Amerika. Britain akhirnya mendirikan sendiri senjata nuklear setelah mengadakan beberapa siri rundingan nasihat dari Amerika. Akhirnya pada tahun 1952 Britain berjaya menghasilkan empat senjata nuklear di belakang Amerika Syarikat dan Rusia.

NATO dianggap oleh Soviet sebagai Amerika dan Amerika adalah NATO ianya menunjukkan pengaruh Amerika sangat besar dan kuat di dalam NATO berbanding negara-negara lain.  Komitmen berterusan Amerika di dalam NATO di lihat sebagai kunci keseimbangan, keutuhan dan kestabilan NATO sebagai institusi  yang berperanan memelihara keamanan dan keselamatan dunia secara praktikal bukan sekadar di Eropah sahaja malah di seluruh dunia dunia.
         

KESIMPULAN

Menurut seorang ahli psikologi Jerome Brunner pada tahun 1944 mengatakan orang Amerika tidak akan menyertai sepenuhnya sesuatu organisasi yang tidak boleh dikuasai oleh mereka. Jika tidak mahu NATO merosot mereka mesti memberi kuasa yang lebih kepada Amerika. Jelas Amerika menguasai dan mendominasi NATO seterusnya mengenepikan United Kingdom. Komitmen Amerika Syarikat dalam NATO di lihat sebagai kunci keseimbangan seterusnya berperanan memelihara keamanan dan keselamatan dunia.



Tuesday, 11 October 2016

SISTEM PEMERINTAHAN PERSEKUTUAN AMERIKA SYARIKAT PADA ABAD KE 18 HINGGA 19

Pengenalan

Istilah persekutuan berasal dari perkataan Greek iaitu foedus  yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa buah negeri atau wilayah yang dahulunya bebas tetapi kemudian menjadi negara bersekutu di bawah satu perlembagaan pusat.

Pemerintahan Persekutuan merupakan satu bentuk pemerintahan yang membahagikan kuasa antara kerajaan pusat dengan negeri (tempatan). Setiap peringkat pentadbiran diberi kebebasan untuk mentadbir mengikut kuasa yang diperuntukkan.

Selepas mencapai kemerdekaan, perlembagaan baharu untuk Amerika Syarikat telah digubal pada tahun 1789. Perlembagaan ini memperuntukkan penubuhan sebuah kerajaan persekutuan.

Kerajaan Persekutuan AS yang terbentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni British. Menjelang abad ke-19, Persekutuan AS telah mempunyai 50 buah negeri yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta hidup dalam perpaduan yang utuh.

Pentadbiran kerajaan persekutuan terbahagi kepada 3 badan utama iaitu badan Eksekutif, badan perundangan dan badan Kehakiman. Pusat pemerintahan kerajaan persekutuan AS terletak di Washington dan diketuai oleh Presiden


CIRI-CIRI KERAJAAN PERSEKUTUAN

Wujud Pembahagian Kuasa Yang Jelas

Sistem pentadbiran Persekutuan Amerika Syarikat menekankan pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri. Setiap peringkat pentadbiran diberi kebebasan untuk menguruskan pentadbiran mengikut kuasa yang diperuntukkan. Kerajaan pusat berkuasa dalam perkara yang penting seperti pertahanan, percukaian, mata wang, dan dasar luar negara. Kerajaan negeri berkuasa dalam menguruskan hal ehwal tempatan  di negeri masing-masing.

Mengamalkan Pemerintahan Demokrasi

Perlembagaan Persekutuan Amerika Syarikat 1789 menetapkan pembentukan kerajaan persekutuan menerusi amalan demokrasi. Pemilihan presiden dan anggota kongres dilakukan menerusi sistem  pilihanraya. Wakil-wakil dari Parti Federalis dan Parti Republikan bertanding untuk memilih Presiden. Pilihanraya untuk memilih presiden dan anggota kongres pernah diadakan pada tahun 1796 dan 1800. Amalan demokrasi yang dilaksanakan memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara. Amalan demokrasi juga membolehkan pemindahan kuasa dilakukan secara aman.

Mempunyai Badan Eksekutif

Badan eksekutif diketuai oleh Presiden yang dipilih melalui pilihanraya. Presiden    Amerika Syarikat dipilih untuk tempoh 4 tahun dan selepas tamat tempoh boleh dilantik semula untuk penggal kedua selama empat tahun. Segala urusan pentadbiran negara Amerika dipusatkan kepada Presiden dan ini bermakna Presiden memegang kuasa yang begitu tinggi dan unggul. Tempat Presiden akan diambil alih oleh Timbalan Presiden jika Presiden meninggal dunia atau meletak jawatan sehingga cukup tempoh untuk diadakan pilihanraya semula.

Kuasa seorang Presiden cukup besar termasuklah menjadi ketua turus angkatan tentera Amerika Syarikat, merunding perjanjian, menerima duta asing, mencalonkan pegawai tinggi persekutuan termasuklah hakim persekutuan, mempunyai kuasa pembatal undang-undang, mentadbir undang-undang persekutuan, memberi pengampunan dan mentadbir kongres.

Semua undang-undang yang diluluskan oleh Kongres (terdiri drp Dewan Senat dan Dewan Perwakilan) mesti ditandatangani oleh Presiden. Namun begitu, Presiden boleh menolak daripada menandatangani sesuatu undang-undang.

Keistimewaan presiden ialah boleh membatalkan undang-undang dengan kuasa veto dan boleh mengawasi kongres melalui dua pertiga undi Kongres. Kuasa Presiden juga kadang kala mengatasi kuasa Kongres apabila berupaya mengisytiharkan peperangan terhadap negara luar, sedangkan tugas ini berada di bawah Kongres. Namum, Presiden juga boleh dipecat melalui sokongan 2/3 dewan jika terlibat dalam rasuah, pengkhianatan atau jenayah besar.

Wujudnya Badan Perundangan

Badan perundangan Amerika Syarikat dikenali sebagai Kongres dan ahlinya     turut dipilih melalui pilihan raya oleh rakyat.
Ahli Kongres terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Senat. Tiap-tiap negeri akan memilih dua ahli bagi Dewan Senat manakala ahli Dewan Rakyat dipilih mengikut jumlah penduduknya.

Berperanan utama Kongres ialah menggubal undang-undang. Keistimewaan Kongres dapat mengatasi kuasa veto Presiden. Berlaku check and balance iaitu kuasa mengawasi kuasa yang lain. Setiap negeri akan memilih dua ahli Dewan Senat dan memilih ahli Dewan Rakyat mengikut jumlah penduduknya.

Dewan Rakyat (Perwakilan) mempunyai ahli empat lebih ramai daripada Dewan Senat. Ahli Dewan Rakyat berjumlah 435 orang dan setiap ahli akan mewakili 30, 000 orang rakyat bagi tiap-tiap dua tahun. Anggota dewan berhak membawa usul ke Kongres, berkuasa menggubal undang-undang biasa, meminda perlembagaan dan memberi kebenaran kepada sebuah negeri baharu yang mahu menyertai persekutuan. Dewan ini juga turut berkuasa menentukan Presiden jika timbul kekurangan majoriti undi calon Presiden dalam pilihanraya.

Dewan Senat pula mempunyai keahlian seramai 100 orang iaitu dua orang akan mewakili setiap negeri. Mereka ini dipanggil Senator. Ahli Dewan Senat yang dipilih mesti berumur 30 tahun serta bermastautin di kawasan yang diwakili dan menjadi warganegara sekurang-kurangnya 9 tahun. Mereka akan berkhidmat sebagai ahli dewan selama 6 tahun. Dewan Senat diketuai oleh Timbalan Presiden Amerika.

Dewan Senat mempunyai kuasa pemutus undang-undang kewangan dan berupaya untuk menolak atau menerima rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Dewan ini juga berperanan dalam pemilihan Presiden.

Wujudnya Badan Kehakiman

Badan Kehakiman Amerika Syarikat terdiri daripada Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Negeri. Badan ini merupakan badan yang bebas dan tidak menerima campur tangan politik sama ada daripada Presiden atau ahli-ahli kongres.

Bukti kebebasan dan ketelusan badan ini ialah jika Presiden dan ahli kongres melanggar perlembagaan, mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap beliau dan ahli kongres.

Mahkamah Negeri mempunyai kuasa kehakiman bagi semua kes yang melibatkan undang-undang  negeri kecuali terdapat percanggahan antara undang-undang negeri dengan persekutuan. Mahkamah Negeri berfungsi untuk menghakimi perkara yang bersangkutan dengan penetapan hak-hak di bawah perlembagaan negeri.

Badan Kehakiman Amerika mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan tindakan-tindakan kongres, keputusan Presiden, tindakan diplomasi ataupun syarat-syarat perjanjian mahupun dokumen undang-undang di sesetengah perundangan negeri sebagai melanggar perlembagaan.

Kesimpulan

Perlembagaan Persekutuan Amerika Syarikat telah menggariskan secara terperinci badan-badan yang memerintah Amerika Syarikat. Pembahagian kuasa telah memastikan pentadbiran dijalankan dengan teratur. Sistem pentadbiran kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat telah turut mempengaruhi negara-negara lain di dunia.




Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.